Tip Kerjaya Graduan. Dianggarkan sekitar 75,000 (25 peratus) daripada 300,000 graduan pada 2020 menghadapi rintangan mendapatkan pekerjaan, enam bulan selepas tamat pengajian. Ini adalah kerana pasaran kerja sengit dengan lambakan graduan universiti awam dan swasta.

Kira-kira 41,161 (13.8 peratus) daripada 330, 557 graduan yang lulus pada 2019 pula, masih menganggur berdasarkan kajian pengesanan graduan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Hari ini, banyak syarikat terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bukan saja ramai diberhentikan kerja, malah kajian berkaitan pengangguran graduan mendapati banyak peluang pekerjaan ditawarkan pelbagai syarikat tidak sepadan kemahiran dan tahap pendidikan mereka.

Tiada Pilihan, Kerja Apa Sahaja Atau Menganggur?

Kerja banyak ditawarkan dengan gaji rendah, sama ada dalam kategori kemahiran rendah atau separa mahir, berbanding untuk mereka yang berkemahiran tinggi.

Graduan bukan sekadar berdepan saingan sengit sesama sendiri, malah mereka yang diberhentikan pekerjaan. Sudah pasti, kerja kosong sedia ada tidak akan diisi dengan bakat yang tidak berbaloi oleh mana-mana syarikat.

Dalam situasi dunia yang berdepan wabak ketika ini, graduan tidak ada pilihan dan terpaksa juga bekerja supaya tidak menganggur terlalu lama.

Pasaran Kerja Sengit. 7 Tip Kerjaya Graduan

Penting untuk mahasiswa membuat persiapan rapi dalam pelbagai aspek dan ia perlu digerakkan seawal mungkin. Jika tidak, mereka akan ditinggalkan, terutama oleh calon yang lebih berbakat dan sudah berpengalaman

1. Graduan perlu mempunyai pemikiran yang betul. Tanya diri sendiri, apa yang mereka mahu dan apa kerjaya impian diinginkan setelah tamat pengajian nanti.

Penting untuk dinilai bagaimana tempoh tiga hingga empat tahun di universiti dimanfaatkan untuk merancang masa depan.

Sebaiknya, mula menulis dan wujudkan pelan kerjaya yang jelas. Senaraikan strategi serta rangka bentuk tindakan boleh diambil untuk mempersiapkan diri supaya menjadi insan hebat.

Menyediakan profil karier juga sangat membantu untuk mengenal pasti nilai, minat, serta kerjaya sesuai dengan personaliti secara lebih jelas.

2. Mahasiswa perlu membudayakan sikap ingin belajar, sedia mencuba sesuatu yang baharu dan pelbagai yang dekat dengan minat, selain perlu ia dipupuk dan dibajai berterusan selama menuntut di universiti.

Fokus kepada sesuatu perkara yang amat dekat di hati dan tingkatkan ilmu, kemahiran serta pengalaman praktikal supaya benar-benar menguasainya.

Semoga 7 tip kerjaya graduan ini dapat memberi jalan keluar daripada masalah pengangguran yang membelenggu graduan.

3. Mahasiswa perlu mula membaca bahan mengenai laporan dan kajian berkaitan pasaran pekerjaan serta industri. Kenal pasti apakah senarai pekerjaan kritikal diperlukan industri.

Apakah kemahiran diperlukan industri daripada seorang graduan di alam pekerjaan termasuk memahami maklumat meliputi jenis syarikat terbabit, budaya, nilai organisasi serta pembabitan bisnes mereka dalam bidang apa.

ANDA MUNGKIN BERMINAT;

Bagaimana Membina Kerjaya Kerajaan Atau Swasta?

Capai Kerjaya Impian. Apa Perlu Anda Tahu?

4. Mahasiswa perlu sentiasa mengambil inisiatif untuk berkongsi dan berbincang tentang status semasa persiapan diri dalam menggapai kerjaya impian dan masa depan, bersama staf pusat kerjaya universiti.

Ia penting untuk bersama-sama membantu mahasiswa merangka pelan tindakan persiapan kerjaya diri supaya tersusun dan sistematik. Persiapan kerjaya tanggungjawab mahasiswa untuk terus relevan dan kekal kompetitif dalam apa juga perubahan pada masa depan. Penting juga diperkukuhkan ‘tawaran nilai kendiri’ kepada bakal majikan dengan sesuatu yang luar biasa, hasil persiapan seutuhnya semasa di alam kampus.

5. Graduan perlu terus komited dengan menyertai secara aktif pelbagai program kerjaya anjuran pusat kerjaya universiti. Ambil sikap bertanya soalan kepada penceramah, tokoh industri atau sebagainya dalam pelbagai sesi webinar, bukan sekadar mendengar secara pasif.

Hulurkan tangan perkenalan kepada mereka. Bina silaturahim dengan staf bahagian sumber manusia syarikat terbabit serta kongsikan apa yang kalian boleh tawarkan untuk memperkembangkan bisnes mereka.

6. Libatkan diri sebagai sukarelawan dalam pelbagai program, inisiatif anjuran industri, syarikat dan sebagainya untuk meningkatkan pengalaman realiti masyarakat yang rencam dan pelbagai kerenah.

Ini membantu mendidik graduan untuk lebih arif dan peka tentang kehendak, sikap, tabiat serta tingkah laku sesuatu perkara dalam kehidupan.

Ia juga membantu meningkatkan kualiti insaniah, mengasah bakat, potensi diri dan membentuk karektor dan personaliti.

7. Mahasiswa perlu mendapatkan mentor yang baik untuk terus-menerus memberikan bimbingan, inspirasi serta tip untuk diri terus bermotivasi mengejar impian walau apa pun cabaran dihadapi.

Apa yang pasti, segala perkongsian pengalaman daripada mentor kepada mahasiswa berkaitan cabaran dan dugaan dihadapi dapat menyuntik semangat, inspirasi, motivasi serta dorongan yang amat kritikal untuk mereka terus bersemangat waja dan tabah menghadapi segala onak duri dalam kehidupan.

Tiada yang mustahil untuk berjaya dalam kerjaya, paling penting adalah sentiasa berusaha untuk mencapai impian. Dalam situasi dunia sedang berdepan wabak, graduan seharusnya tidak bergantung kepada peluang kerja kosong tetapi juga boleh mencuba bidang perniagaan atas talian yang dilihat tidak terkesan dengan situasi semasa.

Semoga 7 tip kerjaya graduan ini dapat memberi jalan keluar daripada masalah pengangguran yang membelenggu graduan.

Sumber Artikel

By mikael_karl

Fokus Kerjaya adalah platform khusus bagi yang mahu mendapatkan panduan peperiksaan kerajaan, temuduga dan tip kerjaya. Fokus Kerjaya merupakan rakan strategik Tim Infokerjaya. En Mikael, penulis blog adalah di antara orang yang terlibat secara aktif dengan Tim Infokerjaya sejak 2010. Sukacita diingatkan Fokus Kerjaya bergerak sendiri dan tidak mewakili mana-mana badan kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!