Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac 2020 telah memaksa kita untuk berkerja dalam norma baharu iaitu berkerja dari rumah (BDR).
Banyak dugaan berkerja dari rumah terutama bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai tambahan pula ada anak kecil.
Sebenarnya, BDR boleh menyebabkan lebih banyak tekanan perasaan kepada seseorang kerana situasi berkerja di pejabat yang kurang gangguan tidak boleh disamakan dengan berkerja dari rumah.
Malangnya, ada segelintir majikan yang tidak memahami situasi tersebut, apa yang mereka mahu kerja mesti disiapkan tidak kira apa jua alasan.
Panduan Berkerja Dari Rumah Semasa PKP
Bagi mengurangkan tekanan perasaan akibat BDR, di sini dikongsikan beberapa tip dan panduan berkerja dari rumah yang boleh diamalkan, tip ini terpakai untuk golongan wanita dan surirumah berkerjaya, golongan suami pun boleh gunakan tip ini (lihat situasi).
1. Minta kerjasama dengan suami
Sekiranya anda dan suami bekerja dari rumah, tidak ada salahnya untuk meminta suami bersama-sama menjaga si kecil yang mungkin perlukan perhatian lebih daripada kedua ibu bapanya.
2. Sediakan ruang untuk bekerja
Perkara ini paling penting kerana kadang-kala jika anda perlu menghadiri mesyuarat secara dalam talian misalnya, sudah pasti tidak mahu gangguan daripada si kecil. Jadi, pastikan terdapat bilik khas untuk anda berkerja dan maklumkan kepada anak, anda tidak boleh diganggu dalam tempoh masa tertentu kecuali kecemasan.
Mesti Baca: Capai Kerjaya Impian. Apa Perlu Anda Tahu?
3. Disiplin
Meskipun bekerja dari rumah, bagi si ibu kadang-kala perlu menguruskan hal membabitkan kerja-kerja rumah yang mungkin menyebabkan anda tidak dapat memberi fokus kepada kerja pejabat yang sudah ditugaskan.
Jadi, sediakan satu jadual dan ikut jadual berkenaan dari segi memasak, membasuh pakaian dan tempoh waktu berkerja. Perkara ini dapat membantu anda daripada menjadi kelam kabut untuk menguruskan hal rumah tangga dan kerjaya.
4. Didik anak untuk memahami diri anda
Kanak-kanak sebenarnya jika di asuh dengan cara berkomunikasi dengan baik, mereka dapat memahami tugas ibu bapa mereka. Gunakan gaya pendidikan kanak-kanak dengan betul terutama dari segi berkomunikasi supaya anda dapat memahami kehendak si anak dan anak juga dapat mengetahui tugas anda.
5. Pastikan anak mempunyai tugas sendiri
Jika anda hanya membiarkan si kecil hanya membuat suatu perkara sahaja mereka sudah pastinya akan bosan. Tidak ada salahnya jika anda mempelbagaikan aktiviti kepada anak ketika di rumah seperti membaca, melukis atau bermain alat permainan yang dapat menguji kepintaran minda mereka.
Sekiranya mereka berjaya melakukan aktiviti itu, jangan lupa untuk ucapkan tahniah atau berikan ganjaran tanda anda menghargai usaha mereka. Dalam masa yang sama, anda juga mungkin tidak diganggu ketika berkerja.
Berkerja dari rumah nampak seperti menarik dan tenang tetapi hakikatnya boleh menyebabkan tekanan perasaan jika tidak mampu diuruskan dengan baik.
Harapan dan doa semoga pandemik Covid dapat dilenyapkan untuk kita kembali hidup normal seperti dahulu.